ATM HARGAI SUMBANGAN VETERAN
JASA dan sumbangan yang dicurah oleh veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa diiktiraf kerajaan khususnya dalam mempertahan kedaulatan dan keamanan dikecapi negara selama ini.
Selain kesanggupan berkorban jiwa demi negara tercinta, warga veteran juga adalah generasi perintis legasi kecemerlangan yang dikecapi semua cabang ATM pada masa kini.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, selain mengiktiraf jasa bakti disumbangkan selama ini, kerajaan turut prihatin terhadap hal ehwal kebajikan golongan veteran dengan memberikan pembelaan yang sewajarnya.
Beliau berkata, selain para veteran, kerajaan juga amat memahami dan prihatin terhadap nasib menimpa kalangan anggota tentera yang telah bersara melalui pelbagai usaha yang digembleng bagi memastikan segala keperluan mereka kekal terpelihara.
“Dalam era serba mencabar ini, pelbagai usaha terus dilipat ganda bagi membela nasib veteran. Antara usaha atau inisiatif telah dilaksana termasuk memperuntuk jumlah perbelanjaan sebanyak RM3.28 bilion pada tahun lalu.
“Peruntukan ini merangkumi pembayaran pencen, ganjaran dan faedah lain kepada semua anggota yang telah bersara atau berhenti daripada perkhidmatan sebanyak RM3.06 bilion, Bantuan Khas Kewangan (RM55.8 juta), Perubatan Veteran ATM (RM102.67 juta) dan Skim Bantuan Kebajikan sebanyak RM25.82 juta,” katanya pada Persidangan Meja Bulat Kedua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Yang turut hadir, Presiden PVATM, Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Noor; Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Bersara Angkatan Tentera (Rafoc), Tan Sri Abd. Rahman Abd. Hamid; dan Pengerusi Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama), Tan Sri Abdul Aziz Zainal.
Selain tetamu kenamaan, persidangan itu turut disertai wakil-wakil daripada 97 persatuan yang bernaung bawah PVATM di seluruh negara.
Dalam pada itu, pelbagai insentif lain turut disedia termasuk program membaik pulih dan membina rumah baharu kepada veteran ATM yang layak melalui 1Malaysia Veteran Home Repair Programme (1MVHRP), yang menjadi bukti soal kebajikan kekal diutamakan oleh kerajaan.
Menurut Raja Mohamed Affandi, pelaksanaan program melibatkan kerjasama tiga kementerian itu bertujuan membantu veteran atau balu ATM yang daif dengan menyediakan kediaman lebih kondusif dan selesa.
“Mulai tahun 2012, sebanyak 445 rumah veteran telah dibaik pulih, manakala 316 rumah pula telah dibina yang menelan belanja sebanyak RM18.9 juta. Selain itu, Skim Bantuan Kebajikan dan Pendidikan diperluas membolehkan setiap anak veteran ATM layak menerima RM700 seorang untuk kemasukan ke Kolej Vokasional Kebangsaan atau melanjutkan pengajian di bidang kemahiran.
“Selain itu, pelbagai lagi skim bantuan turut disediakan termasuk Bantuan Bencana Alam dengan kadar maksimum sebanyak RM5,000,” ujarnya.
Tambahnya, Bayaran Insentif Khas Insurgensi Kepada Veteran ATM yang diumum Perdana Menteri semasa Bajet 2017 melibatkan peruntukan RM55 juta adalah insentif terbaharu diumumkan kerajaan sebagai membela warga veteran.
Di samping itu, kepemimpinan Kementerian Pertahanan juga telah membentang rancangan Teras Kebajikan Hala Tuju Mindef 2017 kepada Perdana Menteri yang menggariskan beberapa perkara termasuk Merapatkan Jurang Kadar Pencen Pesara ATM; Perancangan Veteran Tidak Berpencen dan Agenda Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR).
Namun begitu, Raja Mohamed Affandi mengingatkan seluruh warga veteran menyedari setiap tuntutan atau perancangan memerlukan tempoh untuk dilaksana bergantung pada kemampuan kewangan semasa negara.
“Saya menyeru semua veteran memanfaatkan sepenuhnya Sidang Meja Bulat II ini sebagai medium penerus kesinambungan dan muafakat yang dicapai semasa sidang sebelum ini yang telah merumuskan 12 resolusi untuk dicapai demi manfaat serta kepentingan bersama,” katanya.

Comments
Post a Comment